Monday, December 29, 2008

Agama Dipelihara Ilmu, Bukan Kemaksuman Tokoh (Dr.MAZA)



Pada 25 dan 26 Disember lepas adalah hari cuti di UK. 25hb Disember adalah hari Krismas sementara 26hb juga hari cuti yang mana kebanyakan pasaraya-pasaraya membuat jualan murah yang dianggap luar biasa.

Seperti mana manusia sedunia tahu, apabila Krismas menjelang, wajah Santa Claus yang berbaju merah dan berambut putih panjang muncul di mana-mana. Filem dan berbagai rancangan media akan mempromosikan Santa Claus dan kehadirannya pada hari Krismas.

Walaupun sebahagian rancangan TV di sini mempersendakan Santa Claus. Bahkan mereka juga sering mempersendakan Jesus yang mereka anggap sebagai anak Tuhan dengan berbagai lawak jenaka yang amat tidak wajar untuk dikenakan kepada tokoh biasa, apatah lagi yang insan yang mereka anggap tuhan. Namun, bagitulah jadinya nilai agama pada mereka.

Santa Claus sebenarnya satu watak yang tidak pernah wujud dalam nas-nas agama Kristian samada yang telah diubah, apatahlagi yang asal. Bible sama sekali tidak pernah menyebut tentang kemunculan ‘watak Santa Claus’. Ia hakikatnya adalah benar-benar khurafat dan bidah yang telah palitkan kepada agama mereka sehingga ia akhirnya muncul menjadi perlambangan agama yang diterima umum dan sukar untuk dikikis lagi.

Ia lebih teruk dari kepercayaan sesetengah masyarakat kita yang menyalakan lampu pada malam tujuh likur atau kepercayaan bahawa pada Bulan Muharram digalakkan membuat bubur bagi mencontohi Nabi Nuh a.s. Cerita Santa Claus lebih menonjol daripada faktor sebenar orang-orang Kristian menyambut Krismas.

Maka tidak hairanlah kita mengapakah Nabi s.a.w sering mengingatkan agar jangan mengada-adakan perkara yang baru atau bidah yang dipalitkan menjadi agama. Tempelan baru yang dibuat atas nama agama jika dibiarkan akan menjadi kepercayaan yang akan mengambil tempat agama yang sebenar. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya sebaik-baik bicara adalah Kitab Allah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, seberuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan setiap bidah itu sesat”(Riwayat Muslim).

Al-Imam al-Syatibi (meninggal 911H) ketika mentakrifkan maksud bid’ah menyebut:

“Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada s.w.t”. (al-Syatibi, al-I’tisam, m.s 27, Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Ertinya manusia boleh berinovasi dalam berbagai perkara, tetapi cara cuba mengadakan kepercayaan atau upacara agama yang tidak bersumberkan wahyu sehingga itu dianggap agama. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

“Sesungguhnya ruang melakukan rekaan dan membuat perkara baru bukannya dalam agama. Agama hanya berdasar apa yang diturunkan Allah. Wajib kekal terpelihara lagi bersih dari mainan golongan yang sia-sia, penyelewengan golongan melampau, dakwaan golongan sesat dan tafsiran golongan yang jahil. Adapun ruang untuk melakukan rekaan sebenar adalah dalam urusan dunia. Ia sangat luas dan banyak. Memerlukan keupayaan seni dan rekaan. Namun apabila kaum muslimin mundur, keadaan mereka buruk, urusan mereka rosak, pecah masyarakat mereka maka perkara tetap bagi mereka menjadi terbalik dan keadaan menjadi sebaliknya. Dalam urusan dunia mereka terhenti menjadi begitu jumud seperti batu atau lebih jumud dari itu. Mereka tidak memulakan rekaan, mengadakan dan menyingkap perkara baru. Slogan mereka: Golongan awal tidak meninggalkan untuk yang kemudian sedikit pun. Adapun dalam agama mereka mengadakan rekaan, membuat bid’ah dalam berbagam bentuk ibadah yang tidak diizinkan Allah”(al-Qaradawi, Al-‘Ibadah fi al-Islam, m.s 170, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Istimewanya Islam dibandingkan ajaran lain, dalam Islam kita masih mempunyai sumber rujukan tertinggi iaitu al-Quran dan al-Sunnah untuk mengukur sejauh manakah pendapat golongan agamawan ataupun tokoh itu kukuh ataupun lemah. Kita disuruh menghormati tokoh ilmuan, apatah lagi ilmuan Islam atau yang kita bahasakan sebagai ulamak.

Namun penghormatan kita kepada mereka tidaklah sama sekali bererti kita tidak boleh memberikan pandangan yang berbeza atas asas-asas ilmu atau penghujahan yang berteraskan fakta dan angka. Umpamanya, ketokohan al-Imam al-Ghazali dihormati, namun kritikan tetap diberikan oleh para ulama terhadapnya. Kritikan bukanlah menunjukkan jasanya dilupakan. Antaranya, al-Hafiz al-Zahabi (meninggal 748H) yang menyebut:

“Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan”.

Lalu al-Imam al-Zahabi memberikan kritikan ilmiah terhadap Kitab Ihya ‘Ulum karangan al-Imam al-Ghazali, katanya:

“Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan”. (Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala 19/339, Beirut : Muassasah al-Risalah, Beirut)

Begitu juga ilmuan tafsir yang terkenal al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) memberikan kritikan ilmiah terhadap karangan al-Imam al-Ghazali dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah:

“Ketika berada di Damsyik dan Baitul Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulum al-Din, ia sebuah kitab yang ganjil. Ia mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan amalan hati. Namun padanya banyak hadis yang gharib, munkar, dan palsu”. (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Demikian ramai ilmuan lain dalam sejarah islam ini menerima berbagai kritikan dan perkara itu bukanlah ganjil. Saya sebutkan contoh ini bagi menggambarkan bahawa tidak pernah kemaksuman itu diberikan dalam Islam kepada sesiapa pun selain Allah dan rasulNya. Inilah jalan untuk menjamin agar ilmu sentiasa mengatasi tokoh atau institusi. Dengan itu agama yang tulen akan terpelihara.

Namun, dalam mengkritik dijaga adab dan bersikap adil. Bukanlah seperti sesetengah laman web kelompok agama atau politik agama yang mengharamkan orang lain mengkritik pimpinan mereka dan menjadikan maki-hamun itu halal bagi mereka dalam menghadapi golongan yang mereka tidak setujui.

Sebenarnya, hanya kelompok yang jahil hakikat Islam sahaja yang menyatakan pandangan ulamak dalam semua perkara tidak boleh dikritik. Ya, jika pandangan itu jelas berteraskan al-Quran dan al-Sunnah, kita wajib akur kepada kedua sumber agung tersebut. Namun, jika padangan itu masih dalam isu yang samar atau pandangan itu tidak berasaskan fakta yang kukuh, maka tidak menjadi kesalahan untuk kita berbeza dengan ulamak sekalipun namanya dianggap besar.

Saya agak bimbang sesetengah pihak menganggap negara Islam itu adalah negara yang pimpinannya mestilah berserban dan jubah, serta mengkritik pimpinan negara Islam atau gerakan Islam itu bererti mengkritik Tuhan. Lalu nilai kemaksuman akhirnya diberikan kepada institusi pemerintahan atau politik agamawan, sehingga jika pandangan mereka lemah dan salah sekalipun tidak lagi dipertikaikan.

Nanti jadilah negara Islam yang hendak dibina itu negara ‘kuku besi’ dan jumud. Kecenderungan seperti ini ada dalam pemikiran mereka yang taksub berlebihan. Kita dapat lihat dalam slogan mereka mengenai kebebasan bersuara untuk mereka, dalam masa yang sama mereka mengharamkan pandangan yang berbeza dengan kepimpinan mereka. Sesiapa yang berbeza dengan pemimpin mereka sering dihukum dengan hukuman agama; sesat, jahil, kufur dan seumpamanya.

Inilah yang berlaku dalam bukan sedikit gerakan Islam dan kuasa politik agama di dunia.

Para khulafa rasyidin, Abu Bakr, ‘Umar, Uthman dan ‘Ali jauh lebih mulia dari semua individu atau institusi agama. Pun tidak pernah mereka menghalang pandangan yang berbeza dengan mereka, atau teguran buat mereka sekiaranya masih dalam disiplin kenegaraan yang sihat. Dukacita saya dimaklumkan ada pihak berkuasa agama di negara kita dalam pertemuan dengan pimpinan negara meminta agar pandangan yang berbeza dengan mereka diharamkan dari media dengan kuasa politik. Mungkinkah mereka ingin telah mencapai darjat yang lebih tinggi daripada para sahabat Nabi s.a.w?

0 comments:

 

MuSLiM PhaRMaCiST Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template